Friday, December 4, 2009

Kolam air perlu jagaan teliti

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


Mengindahkan kolam, selain membentuk kitaran air yang baik.

Pemilik kena rajin elakkan ancaman alga, lumut

MEMILIKI taman air dan kolam dalam landskap adalah impian setiap pencinta alam. Pesona yang ditampilkan biru kolam serta deruan airnya amat mengasyikkan mata dan telinga.

Malah seakan menjadi trend masa kini, kewujudan kolam air seperti satu kemestian bagi memastikan laman anda layak digelar taman yang menenangkan.

Tidak hairanlah, ramai yang berlumba-lumba memastikan elemen kolam air ini ada di laman masing-masing tidak kiralah di sudut atau di tepi laman rumah. Jika tiada ruang, binaan kolam air juga boleh dibuat di ruang terhad rumah.

Apa yang penting, kreativiti dan kesungguhan untuk mewujudkan kolam air berkenaan. Bagi golongan yang mampu pula, sudah pasti wang bukan masalah dan tenaga profesional bagi merealisasikan taman idaman pasti ini pula mudah dicari.

Selain desiran air yang mendamaikan, ditambah kehadiran ikan kap Jepun pasti mencipta ketenangan tersendiri sewaktu memandang kolam air ini.


Kolam dicemari alga. (Gambar kecil) Alga di bawah mikroskop.

Bagaimanapun, seindah mana pun atau keasyikan melihat kolam air ini, faktor lebih penting adalah bagaimana untuk mengekalkan keserian serta kesegaran airnya. Selain dibantu pam pembersihan air, pemilik juga perlu rajin memeriksa keadaan kolam air itu sendiri.

Ini disebabkan kolam air juga berdepan ancaman alga iaitu sejenis organisma yang hidup di dalam air selain mewujudkan persekitaran menjijikkan hingga mencacatkan keindahan panorama landskap.

Malah aspek pengurusan dan pemeliharaan landskap air amat mencabar serta memerlukan usaha berterusan.

Bagi mereka yang buntu, laman web http://living.oneindia.in boleh memberi panduan serta petua berguna menyelenggara taman air.


Kolam bersih alga menyerlahkan panorama hijau, subur dan mengasyikkan.

Ini termasuk sembur racun pemusnah alga pada pagi hari sekitar pukul lapan hingga 10 pagi. Pada waktu ini, pengeluaran oksigen sangat produktif. Namun, pastikan racun itu tidak memudaratkan ikan dan tumbuhan lain yang bermastautin dalam kolam.

Selain itu pasang sistem pengudaraan dan periksa secara berkala untuk memastikan ia tidak dilitupi debu dan habuk. Pastikan penuras udaranya sentiasa berfungsi dengan membersihkannya sekali dalam seminggu.

Bagi menghindari pembiakan nutrien tidak diperlukan, buang segera alga yang sudah mati dari kolam.

Jangan lupa hiasi kolam dengan tumbuhan terapung seperti keladi dan kiambang. Tumbuhan ini bukan sekadar hiasan, tetapi pokok teduh yang berupaya mencegah kemasukan cahaya matahari dan menyeimbangkan suhu sekali gus membantutkan pembesar alga. Cara ini mampu mengawal sekitar 70 hingga 80 peratus pembiakan alga.

Kawasan pinggir kolam yang ditutup dengan plastik mampu menghalang kemasukan nutrien tanah dalam kolam. Nutrien ini dipercayai menyumbang kepada kewujudan alga. Alternatif lain tanam tumbuhan penampan sekeliling kolam yang boleh menyerap nutrien.

Pemilik juga perlu mengekalkan persekitaran akuatik bermakna melakukan lebih daripada mengisi kolam dengan air dan ikan. Kesimpulannya, selain elemen alam seperti tumbuhan dan ikan, penjagaan laman yang indah juga memerlukan pemiliknya sentiasa memeriksa keadaan kolamnya.

TIP: Menjaga kolam

Sembur racun pemusnah alga pada pagi hari sekitar pukul lapan hingga 10 pagi. Pada waktu ini, pengeluaran oksigen sangat produktif. Namun, pastikan racun itu tidak memudaratkan ikan dan tumbuhan lain yang bermastautin dalam kolam.

Pasang sistem pengudaraan dan periksa secara berkala untuk memastikan ia tidak dilitupi debu dan habuk. Pastikan penuras udaranya sentiasa berfungsi dengan membersihkannya sekali dalam seminggu.

Kawasan pinggir kolam yang ditutup dengan plastik mampu menghalang kemasukan nutrien tanah dalam kolam. Nutrien ini dipercayai menyumbang kepada kewujudan alga. Alternatif lain tanam tumbuhan penampan sekeliling kolam yang boleh menyerap nutrien.

Nasihat juru landskap profesional ialah menggantikan sepuluh peratus kandungan air kolam setiap minggu.

Bina air terjun buatan untuk kitaran air yang baik. Buang daun kering, lumut dan tumbuhan mati setiap minggu bagi menghindari pembiakan nyamuk.

No comments:

Post a Comment