Friday, December 4, 2009

Kolam segera penyeri laman

Kolam segera penyeri laman
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Binaan pancuran air pasang siap guna batu granit warna warni kian popular

BINAAN kolam di dalam dan luar kediaman semakin popular sejak kebelakangan ini seiring dengan perkembangan seni hiasan dalaman dan luaran tempatan.

Bagi seni hias laman, ramai yang sukakan binaan kolam, pancuran air dan air terjun buatan termasuk binaan pasang siap yang boleh dibeli di kedai aksesori laman, landskap atau kebun bunga.

Terbaru di pasaran, binaan kolam dan pancuran air menggunakan batu granit ‘Tiger Eye Stones’ dan batu loh atau sabak (slate stones) yang diimport dari China. Kedua-dua jenis batu berkenaan mendapat perhatian kontraktor seni hiasan landskap kerana ia mempunyai warna dan tekstur yang menarik.

Eksekutif Jualan Kosmo Tropical Concept (Kosmo Wood), Cheras, Danny Lee, berkata warna dan bentuk batu yang pelbagai mendorong peminat seni laman memilih produk berkenaan, selain harganya lebih murah.

Beliau berkata, batu granit yang dikenali sebagai Tiger Eye Stone, berwarna jingga keperangan seakan-akan warna batu bata, hijau jed dan biru zamrud semakin banyak digunakan dan popular di kalangan penggemar seni hiasan laman.



Pokok duit-duit dalam pasu gantung penghias tepian kolam.


Katanya, batu loh atau sabak yang terhasil daripada campuran lumpur dengan enapan batu pula kukuh dan berkilat dan mempunyai permukaan yang lebih keras. Malah, sabak kalis api dan tidak licin.

Beliau berkata, sabak juga kini banyak digunakan dalam seni bina bangunan untuk dijadikan dinding, lantai dan bumbung. Kebiasaannya, warna-warna sabak adalah hitam, kelabu tua, kelabu hijau, tembaga dan ungu kelabu.

Gabungan warna tanah dan unsur bumi yang dihasilkan, menjadikan batu berkenaan kelihatan unik dan menarik berbanding batu marmar dan granit lain. Keunikan teksturnya juga menyebabkan ia sering menjadi pilihan dalam seni hiasan dalaman.

Kebanyakan sabak diimport dari India, China, Afrika, Brazil, Amerika Syarikat dan Itali. Pengeluar batu berkenaan kini dari semasa ke semasa meningkatkan inovasi dalam penghasilan tekstur dan bentuk baru yang lebih berkilat dan menarik.



Kura-kura dan ikan menghidupkan suasana kolam.

“Syarikat kami pakar dalam kerja kayu, namun sejak kebelakangan ini melihatkan kepada permintaan yang tinggi dalam pembuatan kolam hiasan di luar kediaman, banyak tempah kolam menggunakan granit dan slate stones digunakan,” katanya.

Selain tempahan binaan kolam atau pancuran air, Kosmo Wood turut membina pelantar untuk hiasan tepian kolam selain menerima tempahan khas kerusi taman yang diperbuat daripada kayu resak dan berlian.

“Kebanyakan kerja kayu dan binaan batu ditempah mengikut permintaan pelanggan. Ini bermakna setiap yang dihasilkan ekslusif untuk setiap pelanggan dan tidak mungkin boleh didapati di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, kolam air yang menjadi penghias di premis berkenaan menggunakan hiasan dinding diperbuat daripada granit Tiger Eyes Stone dan sabak.

Sabak digunakan untuk membina dinding kolam, manakala granit digunakan untuk kawasan dasar kolam. Kolam berkenaan nampak seperti hidup kerana dihuni ikan koi dan tumbuhan seperti duit-duit dan costus.

Bagi menyesuaikan kolam berkenaan dengan konsep tropika, batu hiasan berbentuk haiwan seperti gajah diletakkan di dinding kolam. Paling menarik, air mengalir di dinding dan terus ke dalam kolam.

Sejenis lumut khas dibiarkan hidup dalam kolam bagi menampakkan warna air sentiasa hijau seakan tasik semula jadi. Keindahan kolam itu diserlahkan lagi dengan pembinaan dek daripada kayu resak serta kerusi dan bangku taman comel diletakkan. Selain menjadi titik tumpu laman, kolam berkenaan dijadikan ruang istirahat keluarga waktu petang dan hujung minggu.

Info

Batu Loh atau Sabak

Tahan lama

Tidak licin dan kalis api

Kukuh kerana tahan cuaca, bahan pencemar dan kimia

Asalnya sabak digunakan secara meluas dalam pembuatan bumbung bangunan dan kini semakin popular dalam pembuatan patio, laluan pejalan kaki, wakaf dan pondok

Kos yang lebih efektif

No comments:

Post a Comment